1.0 PENGENALAN
Moral berasal
daripada perkataan Bahasa Latin “moralis” yang bererti tingkah laku yang
sejajar dan sesuai dengan tatatusila atau peraturan sesebuah masyarakat. Etika
pula berasal daripada perkataan Latin yang merangkumi kelakuan betul dan
kehidupan yang baik. Pendidikan moral
sentiasa dikaitkan dengan pendidikan sivik dan Pendidikan Agama Islam
terutamanya di Sekolah rendah. Bagi
Kursus Pengenalan Konsep Asas Pendidikan Moral (ELM 3101) ini, pelajar dapat
menimba pengetahuan dan kemahiran asas seperti dalam konteks konsep asas dalam
moral, konsep asas kepada nilai, teori-teori etika, insan bermoral, nilai-nilai
agama masyarakat serta teori-teori perkembangan moral.
Secara kasarnya,
pendidikan moral dapat dibahagi kepada beberapa aspek iaitu, pertama mengapa
pendidikan moral ditekankan, kedua pelajar belajar bagaimana untuk berfikir dan
menyelesaikan masalah, dan yang terakhir ialah pelajar telah diberi peluang serta
diterapkan nilai keyakinan terhadap tingkah laku moral, supaya pelajar
mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap moral.
Konsep asas berkaitan dengan pendidikan
moral telah pun dikaji oleh ahli-ahli antropologi, falsafah, psikologi dan
sosiologi. Secara amnya, pengajian falsafah tentang moral telah memberikan kita
sebab dan pengertian tentang andaian dan idea mengenai tindakan yang dianggap baik dan patut dilakukan oleh
seseorang individu dalam hidupnya serta dalam hubungan antara individu. Seperti
dalam tugasan ini, pelajar dikehendaki untuk membuat satu analisis kajian
mengenai sikap seseorang yang mencuri makanan di surau akibat terlalu lapar.
Kupasan isu ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut sama ada perilaku ini
bermoral atau tidak, wajar atau tidak dan boleh dilakukan atau tidak.
Pengajian psikologi tentang moral telah
meluaskan kefahaman kita tentang tingkah laku dan perkembangan kapasiti manusia
untuk membuat pertimbangan moral sebagai agen moral yang bertanggungjawab.
Pengajian sosiologi tentang moral pula menyumbangkan kepada pengetahuan kita
terhadap tindakan sosial individu terhadap orang lain dalam institusi sosial.
Sumbangan yang meluas dan mendalam daripada pelbagai bidang ilmu ini telah
memberikan sesuatu asas kepada pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral.
2.0 NILAI DAN TEORI ETIKA
Sebelum memulakan
perbincangan mengenai isu yang diberi, kita perlulah terlebih dahulu mengkaji
apa yang dikatakan sebagai suatu amalan yang bermoral? Apa yang dimaksudkan
dengan tindakan beretika dan berakhlak? Secara kasarnya, kita dapat melihat
perhubungan antara moral, etika dan akhlak dalam rajah di bawah.
Konsep baik,
benar dan patut juga berkait rapat dengan perilaku manusia yang berubah-ubah
mengikut sesuatu tempat atau jenis masyarakat. Contohnya dalam masyarakat
barat, perbuatan meminum arak dalam majlis bukanlah suatu perbuatan yang tidak
bermoral. Arak adalah tidak baik kepada kanak-kanak tetapi setelah mencapai
dewasa, mereka dibenarkan untuk meminum arak. Baik merujuk kepada penerimaan
seseorang terhadap sesuatu yang dilakukan. Manakala benar merupakan fakta dan
sebab yang dapat diterima oleh majoriti. Merujuk kepada kes pencuri kuih di
surau, kita boleh kaitan dengan beberapa Teori Etika.
2.1 Teori Teologikal
Dalam teori
teologikal, kepercayaan bergantung kepada nilai ‘betul’ atau salah bergantung
kepada kesan sesuatu perbuatan. Keputusan yang terakhir adalah bergantung
kepada jumlah bandingan perkara yang baik yang dilakukan. Teori teologikal amat
mementingkan hasil akibat sesuatu tindakan. Teori ini dapat dilihat melalui dua
perspektif iaitu ulitarianisme dan egoism. Ulitarianisme adalah berkaitan
dengan tindakan seseorang yang berasaskan tujuan memaksimumkan kebahagiaan atau
keseronokan majoriti. Contoh yang paling lazim dapat kita ambil ialah dalam
kisah dongeng iaitu tabiat Robin Hood yang mencuri dan kemudian bersedekah
kepada penduduk kampungnya yang telah ditindas oleh orang berpangkat besar.
Manakala, Egoisme pula berkait rapat dengan tanggapan bahawa tindakan yang
betul adalah baik manakala tindakan yang salah adalah buruk terhadap diri
sendiri. Orang yang berpegang kepada teori egoism hanya memikirkan mengenai
diri sendiri dan keuntungan yang di perolehi dan membelakangi kepentingan
terhadap orang lain. Sebagai contoh, pengemis tersebut melakukan kesalahan
dengan mencuri di surau. Tetapi dia sudah pun meminta terlebih dahulu dan
permintaannya ditolak. Tambahan pula pengemis berasa sangat lapar dan mungkin
tanpa makan, dia akan memudaratkan dirinya dengan terdedah kepada penyakit
seperti sakit perut dan kurang tenaga. Di sini dapat kita lihat bahawa
keperluannya untuk mencuri telah melebihi daripada keburukan mencuri itu
sendiri. Justeru itu, melalui teori teologikal ini, perbuatan mencuri pada
situasi ini adalah wajar, benar dan dibolehkan.
2.2 Teori Deontologi
Teori Deontologi
adalah bertentangan dengan Teori Teologikal. Menurut teori ini, kesan daripada
sesuatu perbuatan adalah tidak titik beratkan sebaliknya, sifat perlakuan atau
ciri peraturan merupakan perkara pertama yang diambil kira dalam teori ini.
Prinsip kewajipan merupakan cabang di bawah teori Deontologi. Prinsip kewajipan
menegaskan mengenai pelaksanaan tanggungjawab yang sangat penting. Dalam teori
ini, tanggungjawab dikatakan satu nilai utama yang menentukan sama ada tindakan
itu bermoral atau tidak. Menerusi cerita pengemis yang mencuri makanan di surau
itu, pengemis dilihat sebagai seorang yang tidak mempunyai nilai moral dan
tidak bertanggungjawab. Ini kerana dia perlu berusaha untuk mencari makanan
dengan lebih bersungguh-sungguh selain mencuri. Terdapat banyak lagi inisiatif
lain yang boleh dilakukan seperti mendapatkan kerja untuk mencari wang sara
hidup atau meminta bantuan di rumah-rumah perlindungan untuk orang yang
menghadapi kesulitan dalam hidup. Dalam prinsip kewajipan, individu
bertanggungjawab terhadap diri, keluarga, agama dan negaranya.
Aristotle
mengatakan bahawa moral kebaikan secara umumnya adalah ciri-ciri terpuji yang
dimiliki oleh sifat seseorang dan telah wujud dalam diri seseorang. Seorang
yang berakhlak mulia adalah seorang yang mempunyai matlamat dan berada di pertengahan
dan tidak keterlaluan serta mengelakkan tindakan yang berlebihan atau
berkurangan. Imbangan sifat keterlaluan ini ditentukan menerusi tindakan
kearifan oleh seseorang yang mempunyai pengalaman dan mempunyai kemahiran
pertimbangan dalam menghadapi sesuatu situasi yang baru. Seseorang yang
mempunyai akal tahu akan matlamat yang hendak dituju dan apa yang hendak
dicapai dengan memelihara emosi dengan baik dan di samping memperlihatkan
imbangan yang sesuai di antara taakulan, perasaan dan kemahuan. Oleh itu,
terdapat perbezaan antara kebaikan dalam etika dan ini mempengaruhi amalan
seseorang dalam akhlak dan perilaku moral seseorang itu. Oleh itu, dalam teori
ini, perbuatan mencuri adalah dianggap sangat tidak wajar, hina dan tidak
bermoral. Pencuri tersebut tidak memiliki sifat-sifat terpuji seperti yang
diajar dalam teori deontologi.
3.0 TEORI AGAMA : ISLAM
Dalam
agama Islam, mencuri adalah mengambil harta milik orang lain dengan tiada hak
untuk dimilikinya tanpa pengetahuan pemiliknya. Mencuri hukumnya adalah
haram. Mencuri itu adalah salah satu daripada dosa-dosa besar dan mewajibkan
potong tangan ke atas si pencuri itu. Sebagaimana dengan firman Allah dalam Al
Quran :
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ فَمَن تَابَ مِن بَعْدِ ظُلْمِهِ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللَّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
“Lelaki yang mencuri dan wanita yang mencuri,potonglah tangan
keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan
dari Allah.Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.Maka barangsiapa
bertaubat (di antara pencuri-pencuri itu) sesudah melakukan kejahatan itu dan
memperbaiki diri,maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya.Sesungguhnya Allah
Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”
(al-Mâidah
ayat 38-39)
3.1 Hukuman Kerana Kesalahan
Mencuri
Sesiapa yang melakukan
kesalahan mencuri wajib dikenakan hukuman hudud sebagaimana yang dikehendaki
oleh hukum syarak.
1)
Mencuri
kali pertama hendaklah dipotong tangan kanannya.
2)
Mencuri
kali yang kedua hendaklah dipotong kaki kirinya dan,
3)
Mencuri
kali ketiga dan berikutnya hendaklah dikenakan hukuman takzir dan dan
dipenjarakan sehingga ia terbunuh.
3.2 Mencuri Kerana Lapar
Seperti dalam
artikel yang telah diberi, tiada sesiapa pun yang mahu hidup tanpa tempat
berlindung dan keperluan asas yang cukup menjadi keutamaan dalam meneruskan
kehidupan. Dalam kes ini, seorang lelaki telah ditangkap mencuri kerana terlalu
lapar. Pada mulanya dia meminta terlebih dahulu namun permintaannya tidak
dilayan. Lalu, oleh kerana keadaan diri yang terdesak dan kelaparan menyebabkan
dia mengambil tindakan mencuri makanan.
Mencuri kerana lapar termasuk
dalam situasi darurat dan tidak akan dikenakan hukum hudud. Dalam keadaan
darurat, adalah diharuskan oleh syarak untuk melakukan perkara yang dilarang.
Contohnya jika sekiranya tidak melakukan perkara tersebut, seseorang itu boleh
membawa kepada maut lalu dia memakan daging khinzir. Perkara ini termasuk dalam
situasi darurat. Namun, syaratnya makan tidak boleh melebihi tahap keperluan
dan hanya untuk tujuan meneruskan hidup sahaja.
“Darurat (dalam
keadaan yang memaksa) diharuskan melakukan perkara yang dilarang”.
(Al- Ashbah dan An –
Nazha’ir)
Walau bagaimanapun, sebagai
seorang manusia yang biasa, kita perlulah berusaha dalam mendapatkan hasil yang
kita mahukan. Sampai bila kita boleh berlindung di balik kata “darurat” itu
sedangkan kita sendiri yang tidak berusaha untuk mencari pekerjaan dan mendapatkan
wang untuk membeli keperluan asas hidup. Di samping itu, bagi pendapat saya,
keperluan pencuri ini masih belum sampai pada tahap darurat. Darurat yang
sebenarnya ialah apabila dalam keadaan yang sangat terdesak dan tidak ada cara
lain lagi yang boleh dilakukan. Contohnya seperti jika negara dalam keadaan peperangan
dan keadaan yang sangat terdesak untuk kita mencuri makanan bagi meneruskan
hidup. Allah telah berfirman
“Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang
mengubah apa apa yang pada diri mereka ” .
(Ar-Ra’d ayat 11)
Perbuatan mencuri
adalah merupakan perbuatan yang terkutuk kerana orang yang mencuri telah
mengambil hak orang lain. Kita tidak tahu jika orang lain itu lebih berhak
menerima barang yang telah dicuri dan akan menggunakannya dengan sebaik
mungkin. Pada pendapat saya melalui ajaran agama Islam, perbuatan mencuri
adalah sangat tidak bermoral, tidak wajar dilakukan dan sepatutnya setiap individu
mempunyai kesedaran dalam keburukan amalan mencuri ini. Dari sudut modal insan,
modal insan yang bermoral menekankan mengenai perwatakan yang positif iaitu
terdiri daripada pemikiran moral, emosi moral serta tindakan moral. Perbuatan
mencuri dapat menimbulkan kesan buruk terhadap orang lain dan terhadap diri
sendiri. Makanan yang dicuri adalah haram yang akan masuk ke dalam darah daging
kita. Perbuatan ini boleh menyebabkan hati seseorang menjadi keras, di samping
doa pencuri tidak akan diterima. Perbuatan mencuri boleh menyebabkan hati
seseorang itu kotor dan ini akan membawa kesan kepada perbuatannya yang lain.
Contohnya seperti tidak menunaikan solat, berjudi dan selalu menipu orang lain.
Kesan perbuatan mencuri ini juga turut akan melibatkan keluarga si pencuri
iaitu apabila makanan yang dicuri dibuat untuk memberi makan kepada keluarga.
Anak kecil yang tidak bersalah turut menjadi mangsa dalam kes seperti ini.
4.0 PERANAN MASYARAKAT
Seorang insan yang berakhlak
mulia haruslah mempunyai tiga elemen dalam moral iaitu pemikiran moral,
perasaan moral da tindakan moral. Sifat individu boleh dilihat melalui
perlakuan yang menggambarkan diri sebenarnya.
4.1 Peranan Komuniti
Setiap masyarakat
mempunyai tanggung jawab masing-masing dalam menjadi komuniti yang harmoni. Masyarakat perlu
prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik seperti orang kurang
upaya, hilang keupayaan kerana kemalangan, orang yang ditimpa penyakit, anak
yatim piatu atau yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka serta mereka yang
mengalami kesempitan dalam hidup mereka. Ibu bapa boleh mendidik anak-anak agar
simpati terhadap nasib golongan ini, memberi bantuan mengikut kemampuan dan
tidak menghindari atau mengejek mereka.
Masyarakat pula
haruslah mempunyai sifat saling membantu antara satu sama lain tanpa mengambil
kira isu perkauman. Setiap manusia di muka bumi ini adalah makhluk kejadian
Allah. Adalah menjadi tanggungjawab bagi kita untuk menolong saudara-saudara
kita yang menghadapi kesusahan. Seperti dalam artikel, jika mereka bersifat
murah hati untuk memberi sedekah kepada golongan yang kurang mampu itu, maka
kes kecurian tidak akan berlaku.
Kita haruslah
sering mengingati bahawa setiap amalan walaupun sebesar zarah itu pasti akan
ada balasannya di Syurga kelak. Dan setiap perbuatan yang jahat akan menerima
balasan yang setimpal. Dalam konteks masyarakat, setiap individu perlu cakna
dengan apa yang sedang berlaku dalam jiran tetangga atau orang di sekeliling.
Dengan mengambil tahu ini, orang yang ditimpa musibah dapat diberikan bantuan
tidak kira sama ada dalam bantuan berbentuk fizikal mahupun secara sokongan
moral.
Di
samping itu, pihak kerajaan juga haruslah mengambil tahu mengenai kes-kes bagi
orang yang kurang bernasib baik seperti mereka ini. Jika kita dapat lihat
situasi yang sedang berlaku di Malaysia sekarang, rakyat berpendapatan rendah
dan golongan miskin tertindas. Manakala orang yang berpangkat dan berpengaruh
besar dapat hidup mewah dan senang lenang. Kadang kala situasi yang tertekan
seperti peningkatan harga barang dalam keperluan hidup seharian, gaji yang
rendah dalam pekerjaan golongan bawahan, yuran persekolahan dan keperluan
sekolah yang mahal akan mendesak seseorang yang baik melakukan sesuatu di luar
jangkaan minda kita. Banyak terjadi isu seperti kejadian mencuri dan merompak,
termasuklah kes bunuh diri serta ibu bapa tidak mahu menghantar kanak-kanak
bersekolah malah kanak-kanak ini turut bekerja bagi mencari wang. Kes-kes
seperti ini haruslah dipandang serius oleh pihak-pihak yang tertentu bagi
membantu melahirkan masyarakat yang mampu dan seterusnya, negara yang maju dan
membangun tanpa kes jenayah dapat dibina.
4.2 Tugas Ibu Bapa
Selain
itu, dalam konteks mencuri, haruslah ditegah sekeras-kerasnya. Pencegahan ini
haruslah bermula dari rumah. Ibu bapa adalah punca yang membentuk pola-pola
tingkah laku seseorang individu atau anak. Seringkali ditimbulkan bahawa faktor
keluarga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kejayaan anak-anak dalam
pelajaran. Ibu bapa yang sentiasa memberi galakkan dan perangsang sehingga
menimbulkan minat, semangat ketekunan dan keyakinan diri dalam menghadapi
pelajaran. Jika anak dapat dibentuk dalam menjadi individu yang patuh terhadap
rukun iman dan rukun Islam, nescaya tidak akan berlaku masalah seperti kecurian
atau masalah sosial yang lain.
4.3 Pengaruh Rakan sebaya
Pada
diri remaja, pengaruh dalam lingkungan perilaku diakui cukup kuat. Seringkali
terpampang dalam dada akhbar dan kaca televisyen mengenai kes-kes kecurian yang
melibatkan anak-anak remaja. Walaupun remaja telah mencapai tahap perkembangan
kognitif yang memadai untuk menentkan tindakannya sendiri, namun penentuan diri
remaja dalam berperilaku banyak dipengaruhi oleh tekanan dari kelompok teman
sebaya (Conger, 1991). Kelompok teman sebaya juga diakui dapat mempengaruhi
pertimbangan dan keputusan seseorang remaja tentang perilakunya (Conger, 1991).
Rakan sebaya dilihat mempunyai nilai-nilai tersendiri dan mempunyai pengaruh
yang ketara. Rakan sebaya di sekolah dapat mempengaruhi disiplin seseorang
remaja.
Sekiranya
nilai-nilai rakan sebaya tidak mementingkan ketekunan, tanggungjawab,
kerjasama, menepati masa, menghormati guru dan mematuhi peraturan, begitulah
juga sikap pelajar berkenaan. Sebaliknya sifat-sifat sosial positif rakan
sebaya akan menghasilkan seseorang individu yang amat menekankan nilai moral
dalam satu-satu masyarakat seperti sifat-sifat kepimpinan, bertimbang rasa dan
bekerjasama. Rakan sebaya juga memainkan peranan penting bagi membentuk konsep
diri, sikap dan pandangan seseorang pada dirinya sendiri sama ada dirinya
dihargai ataupun sebaliknya di sisi masyarakat. Contohnya, cara berpakaian,
hobi, aktiviti-aktiviti sosial, jenis permainan, kumpulan belajar dan
sebagainya.
No comments:
Post a Comment